KOTA SAMARAHAN, 09 JANUARI 2025: Pendidikan awal kanak-kanak menjadi asas penting dalam membentuk generasi muda yang cemerlang.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, beliau amat menekankan pentingnya pendidikan awal yang menjadi langkah pertama yang kukuh untuk mencorak masa depan anak-anak.
“Harapan saya adalah untuk melihat anak-anak ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga menjadi insan yang hebat dalam bidang agama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Graduasi Tadika Tahfiz HIKMAH Samarahan dan Asajaya 2024 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.
Tambah Datuk Rubiah, graduasi ini bukan sahaja meraikan usaha dan pencapaian pelajar tetapi juga pengorbanan guru dalam mendidik anak-anak kecil, terutamanya di kawasan Samarahan dan Asajaya
Hadir sama, Pengerusi Cawangan HIKMAH Kota Samarahan; Dr Morni Abu Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH; Alwi Morshidi-UKAS