SARIKEI, 07 APRIL 2025: Lokasi pembinaan Jambatan Batang Rajang sangat strategik untuk memastikan Bandar Sarikei dan Bintangor dapat dibangunkan bersama-sama sejak 30 tahun yang lalu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ianya juga lebih efisien dan kos lebih rendah berbanding beberapa cadangan awal yang dikemukakan.
“Pada tahun 2016 dulu, ketika itu Tok Nan sebagai Ketua Menteri, kita mencadangkan jalan ini dibangunkan di antara Sarikei dan Bintangor.
“Dengan sebab, kalau kita guna saluran hospital, bermakna Kampung Bintangor akan ‘mati’ dan tidak akan membangun jadi dengan adanya jambatan dan jalanraya dibangunkan di antara Sarikei dan Bintangor, sekurang-kurangnya kedua-dua bandar dan pekan ini dapat dibangun serentak.”
Beliau berucap demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Kuala Rajang di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Ahad.
Selain itu jelasnya, ketiga-tiga sistem jalan perhubungan utama iaitu Lebuhraya Pan Borneo, Jajaran Rangkaian Jalan Kedua dan Jalan Persisir juga akan dibangunkan untuk memastikan Sarikei dapat dihubungkan dan menjadi tumpuan ramai.
Dalam hal ini katanya, penduduk Kampung Bukit Kinyau juga tidak ketinggalan akan menikmati pembangunan kerana jalan dari Sarikei ke Bukit Kinyau sepanjang 12.6 kilometer yang bernilai RM80 juta telah diluluskan dan akan dibina.
Pecahan dari itu juga, jalan ke Sentebu, Sare dan Kerubong akan melengkapkan sistem perhubungan yang sedia ada.
“Anak-anak kita bukan sahaja mendapat pekerjaan tetapi bagaimana mereka dapat terlibat untuk membangunkan serta mengambil bahagian dalam perniagaan setelah Sarikei dihubungkan jalan-jalan raya dari semua pelusuk negeri Sarawak,” tambahnya.
Untuk memastikan Sarikei terus membangun, beberapa projek akan dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan infrastuktur agar ekonomi dapat dikembangkan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Dedahnya, antara projek yang telah diluluskan ialah Anjung Usahawan bernilai RM15 juta untuk memenuhi keperluan para usahawan kecil di Sarikei yang kini masih dalam proses membuka rekabentuk.
Datuk Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menambah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju pelan induk pembangunan ‘Kampung Debah’ yang merupakan kampung asal Sarikei akan dibangunkan secara komersial dan memastikan nilai tambah aset kepada pemilik tanah.
Pemilik tanah juga akan dibayar pampasan dan digantikan dengan perumahan ala Darul Hana di lokasi baru bersebelahan Tapak Agro Park.
Pada masa yang sama katanya, Kampung Warisan, Susur Jambu turut menerima limpahan pembangunan dengan dua projek utama iaitu Pembinaan Surau dan Dewan Serbaguna melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang bernilai RM2 juta.
Hadir sama pada majlis ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei; Badjuri Bidin, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat serta warga Sarikei-UKAS