SARIBAS, 29 OKTOBER 2021 (SNN) : Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Julaihi Narawi mengajak rakan-rakan pemimpin cawangan dan akar umbi samada di kawasan Saribas atau seluruh ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerja dalam satu pasukan dan seterusnya memperkasakan kepimpinan luar bandar.
Bercakap pada majlis Perasmian Kursus Ringkas Pemimpin GPS/PBB Cawangan N.35 Saribas pimpinan YB Mohd Razi Sitam, Datuk Julaihi menjelaskan lebih lanjut bahawa pemerkasaan pemimpin di peringkat akar umbi lebih-lebih lagi kawasan luar bandar memainkan peranan yang penting dalam menentukan dasar serta hala tuju agenda pemerintahan dan pembangunan negeri Sarawak khususnya untuk kawasan luar bandar pada masa akan datang.
“Kita perlukan pemimpin peringkat kampung-kampung di kawasan luar bandar yang kuat dan dapat bekerjasama dalam sepasukan sekiranya kekuatan dari mereka ini lemah suara kita tidak akan kedengaran dan yang pasti akan merugikan kawasan luar bandar itu sendiri.
“Sebagai contohnya, di kawasan Saribas ini, dari segi politiknya kawasan Saribas adalah sama penting dengan kawasan-kawasan lain di seluruh Sarawak. Saribas ada sumbangan dan peranannya tersendiri dalam pembangunan negeri ini. Oleh itu, apabila tibanya pilihanraya negeri, kita harus pertahankan kerusi DUN Saribas ini dan dimenangi melalui GPS,” kata beliau semasa menghadiri serta merasmikan Kursus Para Pemimpin GPS/PBB N.35 Saribas di Debak, semalam.
Julaihi yang juga Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sebuyau turut menambah, GPS yang merupakan gabungan parti yang lahir dari pelbagai latar belakang kaum cukup berpengalaman dan mempunyai kekuatan untuk terus menerajui pembangunan di negeri Sarawak. Buktinya, kerajaan di bawah GPS berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kawasan luar bandar dengan projek-projek besar seperti pembinaan jambatan dan jalan raya di kawasan pesisir ini dan Saribas adalah termasuk kawasan pesisir yang turut menikmati pembangunan tersebut.
Untuk itu, jelas beliau para pemimpin di peringkat akar umbi dan semua peringkat di Saribas khasnya dan seluruh Sarawak amnya mesti menjalinkan kerjasama yang mantap dalam satu pasukan setiap masa untuk memenangkan GPS.
Turut hadir sama Ketua Cawangan PBB N.35 Saribas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohd Razi Sitam dan pemimpin-pemimpin ranting yang lain.