KUCHING, 22 FEBRUARI 2024 (SNN): Pemergian mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sangat memberi kesan ke atas negeri ini lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang figura politik yang hebat membentuk Sarawak disepanjang kepimpinan Allahyarham dahulu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. Dato Sri Julaihi Narawi menerusi kenyataan beliau turut menyatakan dukacita di atas pemergian Allahyarham Tun Taib pada awal pagi Rabu kemarin.
Menurutnya, dasar politik pembangunan yang diperjuangkan oleh beliau banyak memberi kesejahteraan, keharmonian dan pembangunan fizikal terutama kepada rakyat di luar bandar.
“Allahyarham merupakan antara sosok penting yang terlibat dengan sejarah kemerdekaan dan permodenan negeri Sarawak serta antara pemimpin yang menyaksikan terpatrinya Perjanjian Malaysia 1963 dan juga menyaksikan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang menyertai Persekutuan Malaysia untuk membentuk Malaysia,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.
Tambahnya, beliau dan istetri serta seluruh warga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan seluruh warga Sebuyau pastinya berdukacita di atas pemergian Allahyarham Tun Taib Mahmud.
“Semoga roh Allahyarham Tun dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan mukminin serta salam takziah buat seluruh keluarga Tun Pehin Sri, Al-Fatihah,” jelas beliau.