KUCHING, 16 SEPTEMBER 2023 (SNN): Khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Datuk Talib Zulpilip pada Jumaat akan meninggalkan dampak mendalam terhadap perkhidmatan awam di negeri ini khususnya kawasan DUN Jepak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perginya seorang sahabat yang setia serta rakan sekerja yang penuh dedikasi dengan tanggungjawabnya, adalah satu kehilangan besar bagi beliau dan kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, Datuk Talip telah berkhidmat dengan dedikasi dalam pelbagai peranan, termasuk sebagai Setiausaha Tetap kementeriannya semasa menjadi Menteri Perindustrian dan Insfrastruktur Negeri.
“Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai penjawat awam sebelum dipinjam oleh PETRONAS, dan selepas itu kembali bekerja semula dengan kerajaan Sarawak.
“Pada satu ketika, Allahyarham telah dipilih menjadi calon untuk kawasan baru iaitu Jepak, dan terus memenangi kawasan tersebut hingga akhir hayatnya.
“Allahyarham berkhidmat dengan cemerlang dalam perkhidmatan awam dan sebagai seorang pemimpin, juga sebagai Menteri. Saya telah memintanya untuk menjaga Unit Integriti dan Ombudsman, dan Allahyarham telah melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik.
“Pada pilihan raya yang lepas, kita mencalonkan Allahyarham Datuk Talip lagi dan selepas itu Allahyarham menjadi Penasihat kepada Kerajaan Sarawak, khususnya dalam hal pembangunan di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), di kawasan pembangunan baru yang dikenali sebagai Jepak Jaya,” jelasnya kepada media semasa menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Datuk Talip di Kompleks Pusara Islam Semariang pada Jumaat.
Tambah Abang Johari lagi, Allahyarham juga banyak memberikan idea-idea berguna dalam pembangunan ini. Namun, Allah telah menentukan untuknya menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dengan rasa penuh simpati menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon agar mereka bersabar dalam meneruskan kehidupan.
“Kami dari pihak Kerajaan dan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengucapkan takziah dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta bersama orang-orang yang soleh. Semoga beliau mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.
Turut menghadiri upacara pengebumian tersebut ialah Tuan Yang Terutama Pemangku Yang Di-Pertua Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohamad Iskandar, isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Dato’ Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia; Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Daro Shafie Ahmad serta kenamaan yang lain.
Allahyarham Datuk Talip menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Pakar Normah pada jam 5.50 petang dan jenazahnya dibawa ke Kompleks Pusara Islam Semariang untuk penghormatan terakhir dan urusan solat jenazah sebelum dikebumikan pada jam 9.30 malam.
Terdahulu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama Datuk Amar Juma’ani sempat menziarahi jenazah Allahyarham di Pusat Rawatan Pakar Normah bersama Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak; Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman); Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk; Rubiah Wang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Dr Hazland Abang Hipni dan beberapa kenamaan yang lain.-UKAS