KUCHING, 01 MAC 2025 (SNN): Projek pembinaan Wisma Melayu di Jalan Diplomatik, Petra Jaya yang akan menjadi mercu tanda kebudayaan masyarakat Melayu Sarawak kini berada pada tahap 85 peratus siap.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, walaupun masih terdapat beberapa cabaran dihadapi pihak kontraktor namun segala usaha sedang giat dilakukan agar ianya dapat digunakan secepat mungkin.
Katanya, terdapat beberapa aspek utama yang masih memerlukan perhatian termasuklah pemasangan janakuasa elektrik mini, penyambungan bekalan air dan penyelesaian kerja-kerja dalaman seperti permaidani dan perabot.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu turut menjelaskan, kerjasama antara pihak kontraktor, perunding serta pengurus projek juga menjadi faktor penting dalam memastikan projek itu berjalan dengan lancar mengikut jadual ditetapkan.
“Ada barang yang sudah tersedia, tetapi masih memerlukan koordinasi yang lebih baik antara pihak berkaitan jadi saya telah mengarahkan mereka untuk mempercepatkan segala proses yang masih tertangguh itu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek pembinaan Wisma Melayu, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu terdapat kemungkinan sambungan Wisma Melayu dengan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) memandangkan lokasinya berada berhampiran laluan utama pengangkutan awam.
Tegasnya, dengan baki 15 peratus kerja yang perlu diselesaikan, beliau berharap agar koordinasi yang lebih efektif dapat mempercepatkan proses penyiapan kerana ini merupakan sebuah projek besar yang memerlukan perancangan yang sangat rapi.
Untuk maklumat, Wisma Melayu nanti bakal menjadi sebuah pusat kebudayaan yang penting dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna yang memuatkan 1,500 orang, muzium, galeri, pejabat, kafe, serta surau yang akan menjadi mercu tanda baru bagi masyarakat Melayu.
Bangunan Wisma Melayu dengan reka bentuk menyerupai tengkolok yang sinonim dengan masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi itu mula dibina pada 8 November 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
Turut hadir sama mengiringi ialah Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS; Datuk Hj Mohd Noraden bin Hj Majais, Pengurus Besar AKYBMS; Datu Dr Hj Sanib bin Hj Said dan tetamu yang lain.