25 JULAI 2023 (SNN): Loji Rawatan Air Matang yang mula beroperasi sejak tahun 1887 dan dinaik taraf pada 1965 berkapasiti 16 MLD memerlukan tangki takungan besar baharu berkapasiti 109 MLD bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan Kuching dan sekitarnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan tangki takungan besar yang kini dalam proses pembinaan perlu disiapkan segera kerana tangki sedia ada hanya mampu menampung isipadu air sebanyak 16 MLD per hari.
Katanya lagi, penyiapan reservoir itu amat penting bagi menampung bekalan air di kawasan Bandaraya Kuching khususnya di kawasan Jalan Matang, Petra Jaya, dan Samariang.
“Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Resident Engineer dan lawatan ke tapak projek berkenaan, projek ini setakat sekarang hanya siap lebih kurang 50 peratus berbanding dengan jadual siapnya iaitu 98 peratus.
“Oleh itu, saya meminta pihak Lembaga Air Kuching (KWB) sebagai agensi air bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian segera mengikut klausa kontrak dan peraturan kewangan yang sedia ada kerana status pembinaannya kini agak membimbangkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Ahad.
Tambah Julaihi lagi, loji rawatan yang pada asalnya merupakan empangan air yang kemudian dinaiktaraf kepada loji rawatan air kini mampu menghasilkan air terawat 10 MLD kerana kekurangan sumber air mentah.
Oleh hal sedemikian, kerja-kerja berkaitan perlu dilakukan seiring dengan pembinaan tangki simpanan bersaiz besar agar dapat disiapkan serentak seterusnya dapat membekalkan bekalan air mencukupi kepada rakyat.
Justeru, Kerajaan Sarawak pada hari ini menjadikan isu bekalan air suatu yang utama dan paling penting kerana bekalan air merupakan sumber kehidupan untuk semua rakyat menjalankan aktiviti seharian.