JULAU, 21 NOVEMBER 2021 (SNN) : Pembinaan semula jambatan menghubung ke Nanga Lasi bagi menggantikan jambatan lama yang uzur bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di rumah panjang apabila siap kelak.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, pembinaan semula jambatan yang dibina menggunakan jenis jambatan besi (steel bridge) dengan panjang 100 meter beserta jalan tuju (approach road) dari kedua-dua arah sepanjang 260 meter akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan itu.
“Pembinaan jambatan ini adalah merupakan salah satu daripada projek-projek rakyat yang dibiaya penuh oleh kerajaan Sarawak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta termasuk jalan tuju dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan bermula dari tarikh surat tawaran diserahkan.
“Hal ini merupakan usaha berterusan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memberi jalan perhubungan yang selesa kepada lebih 6,000 penempatan di seluruh Sarawak,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Nanga Lasi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, semalam.
Tambah beliau, keperluan untuk membina jambatan ini dengan kadar segera adalah disebabkan jambatan yang lama tidak lagi selamat digunakan oleh penduduk selain kenderaan juga tidak dapat melalui jalan berkenaan. Oleh itu, apabila siapnya kelak para petani dapat memasarkan hasil pertanian seperti lada dan sawit ke luar kawasan penempatan mereka.
Jelas beliau, keprihatinan kerajaan GPS yang mempunyai dasar dan agenda pembangunan yang jelas akan terus memberi faedah serta keuntungan kepada rakyat dalam jangka masa panjang. Oleh itu, GPS masih merupakan pilihan terbaik untuk rakyat dan Sarawak bergerak maju ke hadapan.