MATU, 09 JUN 2022 (SNN):Projek Pembinaan Masjid Kuala Matu sangat strategik kerana lokasinya di tepi jalan pesisir dari daerah Daro dan bakal menjadi pintu masuk ke Matu selain kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan menjadikan masjid berkenaan sesuai untuk berfungsi sebagai Balai Cerap pertama yang khusus ditempatkan di zon tengah Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan untuk projek Masjid Kuala Matu kerana akan turut membabitkan pembinaan menara bagi tujuan cerapam anak bulan pada Ramadan dan Syawal.
Setelah usai menyempurnakan majlis simbolik ‘Mula Kerja Pembinaan Masjid Kuala Matu’ Premier Sarawak kemudian menyaksikan acara penyerahan kontrak daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya kepada kontraktor terpilih bagi pelaksanaan masjid tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut meluluskan peruntukan RM130 juta bagi pembinaan jalan raya dari Igan ke Sibu sepanjang 70 kilometer (km).
“Projek yang dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap ini bakal memendekkan perjalanan dari daerah pesisiran ini ke Sibu, kepada hanya kira-kira sejam melalui Pasin.
“Jalan raya Igan-Sibu ini bukan sahaja memberi manfaat untuk penduduk di Matu malah juga mereka di Pulau Bruit dan Bawang Assan. Memandangkan projek ini memberi impak besar, kita minta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat anggaran dan kosnya RM130 juta kita luluskan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pesta Matu 2022 di sini, semalam.
Sempena lawatan sehari itu juga, Abang Johari turut meninjau tapak projek Rumah Spektra Permata di Kampung Tian yang sudah siap dibina dan merasmikan Medan Selera Matu.
Beliau turut meninjau tapak projek Bandar Baru Matu, meninjau projek pembinaan benteng hakisan Kuala Matu dan majlis pecah tanah Masjid Kuala Matu.
Abang Johari berkata, hampir RM500 juta diberikan untuk kawasan Matu termasuk pembinaam Jambatan Igan yang bernilai RM285 juta selain Jalan Igan-Matu.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS); Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jemoreng; Datuk Dr Juanda, Ahli Parlimen Igan; Ahmad Johnie Zawawi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak; Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak; Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli; Datu Sri Zaidi Mahdi, Pegawai Daerah Matu; Wan Hipni Wan Mohamad dan Pemangku Residen Bahagian Mukah; Shafrie Saili.