DARO, 01 OGOS 2021 (SNN) : Projek pembinaan masjid baharu Daerah Daro yang kini telah memasuki fasa terakhir dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, walaupun pelaksanaan pembinaan masjid berkenaan sedikit terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk kekangan ekonomi namun projek masjid ini tetap dilaksanakan.
“Saya difahamkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan kini telah memasuki fasa terakhir dan berharap ianya berjalan dengan lancar serta siap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Masjid baharu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di daerah ini kelak akan dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan moden seperti ruangan solat yang lebih selesa, tempat wuduk, bilik kuliah yang besar sehingga mampu memuatkan seramai 145 orang, bilik pengurusan jenazah, dewan makan dan pejabat,” katanya ketika menyampaikan sumbangan dalam Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS) semalam.
Tambahan lagi, masjid itu kelak mampu menampung seramai 1,600 orang jemaah dalam satu-satu masa sekaligus akan menjadi ikon penyatuan ummah masyarakat Islam di Daro khususnya.
Dalam pada itu, Safiee Ahmad turut berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul makanan UKAS secara simbolik kepada 40 orang Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Syafie.