SEBUYAU, 15 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Projek pembinaan kilang ais mini di persimpangan Sebangan, Sebuyau yang dilaksanakan di bawah IRSDA (Integrated Regional Samarahan Development Agency) akan membawa manfaat yang besar khususnya kepada nelayan kecil di sekitar Daerah Kecil Sebuyau.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, kilang ais mini ini penting bagi kawasan Sebuyau kerana kawasan ini mempunyai ramai nelayan dan pastinya bekalan ais diperlukan bagi memastikan hasil tangkapan laut sentiasa segar sebelum dijual di pasar.
“Satu jawatankuasa kecil pertanian di bawah IRSDA telahpun mengenalpasti tapak pembinaan kilang ais berkenaan iaitu di dalam kawasan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di simpang empat Sebangan,” kata beliau melalui suntingan di akaun Facebook miliknya pada Jumaat.
Jelas beliau, dengan siapnya pembinaan kilang ais mini itu kelak diharap dapat membekalkan keperluan ais kepada para nelayan di sekitar Sebuyau dari semasa ke semasa dan tidak perlu lagi menunggu serta membeli bekalan ais dari pembekal dari Kuching.