LAWAS, 22 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Kerajaan Sarawak sentiasa memandang berat terhadap perkembangan pendidikan pelajar di negeri ini dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, salah satu inisiatif kerajaan Sarawak adalah dengan pemberian komputer Raspberry PI yang bertujuan membangunkan modal insan di negeri ini termasuklah latihan untuk pelajar dan guru.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi program pemberian komputer Raspberry PI ini dan 31 buah sekolah rendah di Daerah Lawas akan menerima komputer berkenaan secara berperingkat begitu juga di bahagian yang lain mengikut kapasiti pelajar setiap sekolah.
“Penguasaan dari segi IT dan platforn digital amat penting dalam aktiviti seharian kita terutama negara kini sedang membangun kearah negara moden. Kemudahan pemberian komputer ini amat berguna sekali bagi melatih pelajar dan guru dan diharapkan akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Komputer “Raspberry PI” Daerah Lawas 2021 dan Simbolik Penyerahan Baucar Pakaian Seragam Yayasan Sarawak Daerah Lawas 2021, Penyampaian Sumbangan Laptop, Penyerahan Sumbangan Kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Lawas di Pejabat Daerah Lawas pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu kerajaan Sarawak komited menyediakan jaringan internet dan menambahbaik kemudahan sedia ada samada di bandar mahupun luar bandar dalam memastikan kualiti modal insan dapat dipertingkatkan.
Jelas beliau, banyak projek yang telah dirancang dan sudah sedia untuk dilaksanakan bagi meningkatkan lagi perhubungan jaringan internet namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua projek-projek terpaksa ditunda dan akan disambung secepat mungkin apabila keadaan mengizinkan kelak.