BINTULU, 26 DISEMBER 2021 (SNN) :Seorang pemuda maut dalam nahas jalan raya selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran Kidurong Club, dekat sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi kenyataan berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan dikenali sebagai Jostine Endy Minggu berumur 22 tahun.
“Bomba menerima laporan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 9.15 malam (Sabtu). Komander operasi yang tiba di lokasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta berwarna biru, telah melanggar sebatang pokok,” katanya.
Dalam kemalangan itu, katanya seorang mangsa tersepit ditempat duduk penumpang. Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamatan.
Jelas Bomba, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kemalangan. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.