KUCHING, 09 NOVEMBER 2023: Kerajaan Sarawak menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan khususnya dari pemaju hartanah tempatan untuk menggunakan tenaga solar dalam pembangunan projek.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, tenaga solar ialah sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui sekaligus mengurangkan jejak pelepasan gas karbon ke udara.
Menurutnya, tenaga solar juga akan menjadi salah satu daripada pemacu utama tenaga bersih di Sarawak sejajar dengan komitmen kerajaan Sarawak untuk mengurangkan 800,000 tan karbon menjelang 2030.
“Sudah tentu (kita) kerajaan negeri menggalakkan supaya lebih ramai pemaju mengikuti konsep yang ditetapkan di mana mereka menggunakan panel solar ini untuk menjaga tenaga solar.
“Dalam pada masa sama mereka turut membantu kita untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd, Vestech Energy Sdn Bhd dan Alliance Bank Berhad For Solar Ready Homes Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching(BCCK) pada Rabu.
Sementara itu, Dato Sri Julahi dalam ucapannya berkata, Hornbill Networks Consortium, Vestech Energy dan Alliance Bank turut melancarkan tambahan kepada 500 buah rumah sedia solar menjelang 2025.
Hadir sama, Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak; Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Penasihat Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd; Datuk Abdul Kaider Sahib, Ketua Pegawai Eksekutif Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd; Hanizam Hashim, Ketua Pegawai Operasi Solarvest Holdings Berhad; Vincent Yap, Pengarah Eksekutif Vestech Energy Sdn Bhd; Wynn Chen, dan Pengurus Jualan Wilayah Sarawak Alliance Bank Malaysia Berhad; Maggie Tay.-UKAS