BARAM, 04 DISEMBER 2024: Kerajaan Sarawak komited dalam meningkatkan prestasi akademik para pelajar di negeri ini dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah dirancang, demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak adlaah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan guru, menggalakkan penguasaan Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) dan juga pemerkasaan Bahasa Inggeris.
“Kerajaan Sarawak juga memastikan akses yang saksama kepada pendidikan melalui menaik taraf kemudahan sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar,” jelasnya.
“Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) mencerminkan komitmen Sarawak kepada memupuk modal insan dan menyediakan pelajar untuk masa depan yang cerah,” kata beliau semasa Sesi Perkongsian Inisiatif Pendidikan Kerajaan Sarawak bagi Daerah Marudi pada Selasa.
Tambah Dr Annuar lagi, selain daripada pelajar, terdapat inisiatif sasaran Pembangunan Profesionalisme Berterusan untuk Guru yang bertujuan mengukuhkan kompetensi guru dan melengkapkan pendidik dengan kemahiran dan amalan terkini dalam pendidikan.
Sesi perkongsian tersebut melibatkan Pengetua, Guru Besar, Penolong Kanan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Daerah Marudi.
Turut hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Sayed Azmee Wan Junaidi, wakil Pejabat Daerah Marudi; Suzana Layang, Pengetua Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak; Jimali Sunang dan Pegawai Pendidikan Daerah Baram; Matthew Laing Ngau-UKAS