KUCHING, 13 JULAI 2024: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) telah melaksanakan empat siri program dan intervensi sosial, setakat Jun tahun ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan bersepadu dan holistik
yang diambil adalah selari dengan objektif Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) dalam usaha mengurangkan kehamilan remaja dan menangani isu-isu yang dihadapi remaja hamil di negeri ini.
Menurut beliau, ia termasuk Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS), Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) serta Wacana Minda.
“KAPS memberi impak positif dengan penurunan sebanyak 60.6 peratus dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah di antara tahun 2015 (160 kes) dan tahun 2023 (63 kes). Oleh itu, KAPS dilaksanakan sebanyak dua siri di sekolah menengah di Sarawak.
“RPS yang mengandungi komponen berkaitan isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan keselamatan kanak-kanak kepada komuniti di kawasan pedalaman di setiap pentadbiran bahagian di Sarawak, satu siri.
“Wacana Minda untuk berkongsi dapatan kajian ‘Profil Remaja Hamil di Sarawak’ melibatkan stakeholders, ahli-ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, ahli-ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, ahli-ahli OSTPC dan rakan-rakan strategik kementerian yang berkaitan, satu siri,”jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OSTPC Peringkat Sarawak yang kedua bagi tahun 2024, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah memberitahu, program dan intervensi ini juga selari dengan saranan Kajian Kesihatan Remaja yang dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 berhubung dengan kelaziman tingkah laku risiko kesihatan dan faktor perlindungan dalam kalangan remaja di Sarawak.
Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sebanyak 4.4 peratus adalah berumur di bawah 16 tahun, 31.3 peratus berumur 16 hingga 17 tahun dan 64.4 peratus (605 kes) pula berumur 18 hingga 19 tahun.
Secara terperinci katanya, kes remaja hamil melibatkan umur dibawah umur 18 tahun adalah 35.7 peratus (335 kes), yang mana 62.55 peratus (588 kes) tidak berkahwin semasa mereka hamil dan 96 peratus (902 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil.
“Manakala berdasarkan etnik pula, 50.7 peratus kes remaja hamil yang direkodkan adalah dalam kalangan etnik Iban, 22.1 peratus etnik Melayu, 6.8 peratus etnik Bidayuh dan 6.6 peratus etnik Cina.
“Mengikut pentadbiran bahagian di Sarawak pula, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi (12.64 peratus), diikuti dengan Sri Aman (8.25 peratus), Bintulu (8.16 peratus), Sibu (7.52 peratus) dan Sarikei (7.20 peratus),”ujarnya.
Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.-UKAS