KAPIT, 10 OGOS 2022 (SNN): Pelancaran Projek Telekomunikasi Luar Bandar@ Sarawak Multimedia Authority Telecomunication (SMART) di kawasan luar bandar dan pedalaman bertujuan untuk terus memberikan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi kepada pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, perkembangan ekonomi digital seperti dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana yang berasaskan tani dan produk tempatan menggesa keperluan jaringan telekomunikasi yang tinggi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman amat penting bagi menyokong pemasaran produk secara digital.
“Dalam usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan ini kita memerlukan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat khususnya pemilik tanah untuk mengizinkan tanah mereka dilalui projek ini.
“Selain berdepan dengan cabaran topografi di seluruh Sarawak dan kebolehcapaian, pelaksanaan projek menara telekomunikasi ini juga berdepan isu izin lalu dan kedua-dua ini yang menjadi kekangan buat kita dan pihak SEDC untuk membina menara yang telahpun diluluskan,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran SMART di Rh Empawi, Sekukut, Ulu Yong bagi mewakili YAB Premier Sarawak pada Selasa.
Tambah Julaihi yang juga ADUN Sebuyau itu, kerjasama daripada masyarakat juga amat penting bagi membolehkan Sarawak mencapai misi ke arah wilayah maju menjelang tahun 2030.
“Sekiranya menara ini telah siap dibina dan dilengkapi dengan peranti telekomunikasi daripada syarikat penyedia telekomunikasi seperti CELCOM, DIGI, UMOBILE, MAXIS yang akan mendapat manfaatnya nanti sudah pasti rakyat di kawasan itu juga,” tegas beliau lagi.
Untuk rekod, di Bahagian Kapit sahaja SEDC telah berjaya membina 14 menara telekomunikasi dan anggaran keseluruhan menara di seluruh Sarawak yang akan dibina adalah 600 menara.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak; YB Jefferson Jamit, Timbalan Menteri Utiliti & Telekomunikasi(Telekomunikasi); YB Datuk Liwan Lagang, Pengerusi SDEC; Tan Sri Mohd Morshidi Gani, ADUN ADUN Tempatan; YB Wilson, YB Kennedy Chokpai, YB Lidam dan YB Nicholas Kudi, Residen Kapit, Pengurus Besar SMA; Dr Zaidi Razak, CEO SDEC; Sudarnoto Osman dan para pemimpin tempatan.