BETONG, 26 OGOS 2022 (SNN): Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur), Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam mengadakan lawatan kerja di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong pada Rabu.
Jelas Ir Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan jalan di kawasan Kampung Suri Betong yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan November nanti.
“Berdasarkan pemerhatian, kita yakin dengan komitmen pihak kontraktor akan menyiapkan jalan beserta dua jambatan sepanjang 9.5 kilometer ini sudah bersedia untuk menerima permit dan akan siap pada bulan November.
“Untuk makluman tambahan, pembinaan jalan ini merupakan standard JKR R3 di mana jalan yang dibina dan bahu yang cukup lebar,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak JKR akan melaksanakan bagi mengenalpasti cabang-cabang jalan yang dicadangkan di kawasan Kampung Buda.
Dalam perjumpaan tersebut, Mohammad Razi juga telah diberi penerangan tentang perkembangan terkini projek rakyat yang telah siap dan bakal dijalankan di bawah DUN Saribas.
Dalam taklimat tersebut turut dimaklumkan bahawa tiga projek rakyat yang telah siap sepenuhnya antaranya Projek Pembinaan Jalan dari Kampung Supa ke Kampung Medang, Projek Pembinaan Jalan dari Kampung Tanjung Assam ke Kampung Buda dan Projek Naiktaraf Jalan Kawasan Rumah Panjang Belassau.
Lawatan kerja itu juga turut diadakan sesi perbincangan berkenaan dengan pembinaan jalan baru bagi kawasan Paya Bakong dengan jarak sepanjang 4.5 kilometer yang bakal menjadi salah satu jalan menghubungkan penduduk kawasan Kampung Debak dan sekitar dengan kos peruntukan sebanyak RM6 juta yang dijangka akan siap pada tahun depan.
Dalam sesi lawatan itu juga, Ir Aidel turut menzahirkan ucapan tahniah kepada agensi pelaksana dan pihak kontraktor yang terlibat kerana telah memberi kerjasama dan mutu kualiti kerja yang baik dalam memastikan kerja-kerja pembinaan projek di kawasan ini dibina dengan sebaiknya.-UKAS.