KEMAMAN, 06 MEI 2024: Seorang pelajar tahfiz dari Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Kijal, 16 tahun berjaya menamatkan hafazan bersanad 30 juzuk bersama Institusi Maqra’ah Al-Alamiah yang berpusat di Makkah al-Mukaramah.
Memetik laporan daripada Berita Harian, pelajar tahfiz bernama Muhd Aidit Baihaqi Muhd Nasir itu telah menerima Sijil Hafazan Bersanad 30 Juzuk dari Institut Maqra’ah Al Alamiah, Makkah pada 2 Mei lepas.
Pengasas yang juga mudir Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz berkenaan, Datuk Mohd Arif Ismail ketika ditemu bual memberitahu, Muhd Aidit merupakan perintis kepada program pengajian hafazan bersama institusi berkenaan yang dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.
“Pelajar ini mengikuti kelas bersama guru-guru di Makkah secara online mengikut jadual ditetapkan. Kebiasaan kelas di Malaysia bermula pada waktu antara jam 5 hingga 6 pagi secara dalam talian.
“Pelajar yang mengikuti program secara dalam talian itu mengambil masa lebih kurang satu tahun enam bulan untuk menamatkan hafazan bersanad dan bergelar hafiz. Ia sangat memberi manfaat kepada pelajar kerana dapat meningkatkan tahap bacaan serta tajwid yang lebih baik sekiranya menyertai program ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian dipetik pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Arif menambah, program pengajian hafazan itu merupakan sebuah program yang besar kerana satu-satunya pusat tahfiz di negara ini yang menawarkan sijil Sijil Hafazan Bersanad 30 Juzuk dari Institut Maqra’ah Al Alamiah, Makkah.
Katanya, sijil berkenaan diiktiraf di Makkah di bawah Institut Maqra’ah Al Alamiah sambil menambah pihaknya menyasarkan untuk membuka penyertaan kepada semua pihak untuk sertai program ini.
“Ia bukan melibatkan pelajar dari Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie sahaja malah kita mahu buka peluang tersebut kepada semua pelajar tahfiz di Malaysia untuk ikuti program ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Arif berkata, dua orang pelajar iaitu Muhamad Syakirin Mohd Salleh, 19 dan Abdullah Muqri Abd Aziz,18, berjaya menamatkan hafazan bersanad 30 juzuk bersama Institut Maqra’ah Al Alamiah yang berpusat di Mekah pada tahun lepas.
“Tahun depan kita sasarkan dua orang untuk tamatkan hafazan bersanad 30 juzuk selain masih ada lapan orang lagi yang menunggu giliran untuk habiskan hafazan bersanad itu,” tegasnya.-BH