BINTULU, 15 OGOS 2023 (SNN): Para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi disarankan untuk menerokai kursus-kursus yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta merebut peluang pekerjaan di bandar ini.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, pemilihan kursus yang tepat merupakan asas kepada kecemerlangan seseorang pelajar serta peluang mudah untuk melamar suatu pekerjaan.
“Calon (pelajar lepasan SPM,STPM dan setaraf) perlu bijak dalam menentukan aliran atau bidang pengajian di IPT selari dengan keputusan peperiksaan yang mereka perolehi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti semasa merasmikan Program Jerayawara Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) ‘Project of Dream Realized (Pro-Dr)’ pada Isnin.
Di samping itu, Dato Majang Renggi turut menggesa pelajar untuk merebut peluang pekerjaan di bandar Bintulu yang kini sedang mengalami gelombang pembangunan pesat kedua.
“Misalnya, pembangunan pesat industri di Zon Perindustrian Kidurong dan industri berat di Taman Perindustrian Samalaju seperti OCIM-KUMHO, Pertama Plant Extension, Wenan Steel, Longi dan lain-lain,” jelasnya.
Difahamkan program jerayawara anjuran Kerajaan Sarawak melalui TEGAS dan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini dianjurkan di 12 lokasi iaitu dari Lundu sehingga ke Lawas bermula 24 Julai sehingga 18 Ogos 2023.-UKAS