KUCHING, 11 SEPTEMBER 2022 (SNN): Seorang pelajar dari Malaysia yang menuntut di universiti luar negara berjaya memperoleh pingat Phi Kappa Phi atas pencapaian akademik tertinggi menduduki tempat pertama mengatasi hampir 10,000 pelajar beberapa tahun berturut-turut.
Memetik laporan SinarHarian, penerima biasiswa Yayasan Tenaga Nasional yang dikenali sebagai Irdina Shahriman, 24, menuntut di Virginia Tech (VT) dalam jurusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik itu meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 atau juga digelar ‘4 flat’ secara konsisten dari 2018 hingga 2021 berkat usahanya yang bersungguh-sungguh sepanjang tiga tahun belajar di sana.
“Saya bukanlah seorang ‘genius’ secara semula jadi, tapia saya bekerja keras dengan mengambil nota dengan tekun dan tidak ponteng kelas.
“Dan paling penting, saya ambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas saya, yang benar-benar meningkatkan pemahaman saya tentang perkara itu,” katanya kepada StarEdu, baru-baru ini.
Kongsi Irdina lagi, jika ingin berjaya di peringkat pengajian tinggi, pelajar mestilah menghayati proses pembelajaran, di samping, memperbetul niat belajar kemudian terjemah ke dalam tindakan.
Menceritakan pengalamannya belajar di VT, adalah amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan universiti tempatan.
Difahamkan, sistem pengajian di VT menggalakkan para pelajar termasuk Irdina untuk berfikiran kreatif di luar topik pembelajaran dengan memberikan pendapat masing-masing di kelas.
“Contohnya, ada ketika saya perlu tulis laporan makmal mengikut kesesuaian kerana dimaklumkan bahawa tiada format disediakan.
“Sebagai seseorang yang sentiasa bekerja dalam persekitaran yang tersusun, itu mendorong saya keluar dari zon selesa saya,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan rata-rata pelajar di fakultinya didominasi oleh golongan lelaki namun perkara itu tidak menghalang Irdina untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran di sana.
Bagaimanapun, beliau tetap berasa takut ketika melakukan tugasan berbentuk projek kerana sepanjang di VT tidak pernah mempunyai ahli kumpulan perempuan.
Irdina menambah, sistem akademik AS kebiasaannya mempunyai peperiksaan dua kali seminggu sepanjang semester yang memerlukan pelajar untuk konsisten dalam pelajaran.
Sepanjang di VT, Irdina tidur lapan jam sehari, bersenam, dan jamah makanan yang dimasak di rumah kerana beliau percaya seseorang akan menjadi lebih produktif jika mengekalkan kesihatan fizikal dan mental pada tahap optimum.
Akhir sekali, Irdina menasihati agar para pelajar yang bercita-cita tinggi untuk percaya pada kemampuan diri masing-masing kerana setiap orang mempunyai kekuatan dan kebolehan yang tersendiri.