KOTA SAMARAHAN, 10 APRIL 2025: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan hadir menyerikan Majlis Aidilfitri Perdana 2025, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak pada malam Rabu.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah dalam ucapannya mewakili seluruh warga universiti berkenaan menzahirkan ucapan terima yang tidak terhingga kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri yang telah berkenan hadir ke majlis itu.
Menurutnya, ini pastinya saat yang menggembirakan bagi seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak sekali gus membuktikan betapa prihatin dan luhurnya budi Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dalam menyantuni rakyat di negeri ini tanpa mengira darjah serta pangkat.
“Dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang inklusif dan prihatin, UiTM Cawangan Sarawak terus mengorak langkah ke hadapan dengan pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan holistik, sekali gus meraih pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Di samping itu, UiTMCS turut tampil dengan pendekatan pendidikan holistik melalui Program Plus Tahfiz, yang memberi peluang kepada pelajar lepasan tahfiz untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional.
Seramai 29 pelajar sedang mengikuti program ini, dengan 9 daripada mereka telah menghafaz 30 juzuk al-Quran sepenuhnya.
“Matlamat kita jelas, melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki watak mukmin sejati, seperti yang dituntut dalam al-Quran,” tambahnya.
Dalam ucapannya juga, Prof. Dr. Firdaus berkongsi beberapa kejayaan penting UiTM Cawangan Sarawak, antaranya ialah Anugerah Gangsa AKPANS 2024 (Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak), Anugerah Merit PSEA 2023/2024 (Premier of Sarawak Environmental Award), Anugerah Profesionalisme Akademia peringkat kebangsaan sempena AKPU 2023 dan Anugerah Pengurusan Akademik Cemerlang & Kokurikulum bagi kategori cawangan UiTM.
Kejayaan-kejayaan ini menurut beliau adalah hasil kerjasama seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak yang sentiasa berusaha meningkatkan mutu pendidikan dan perkhidmatan.
Majlis itu juga turut menyaksikan penyampaian simbolik Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada 20 pelajar B40, hasil sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sambil menekankan peranan institusi bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut menyantuni pelajar khususnya daripada golongan B40.
Katanya, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar menjelang permulaan semester baharu.
“Kita sedar ramai pelajar kita datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Maka UiTMCS mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti Food Bank dan Dapur Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan tiada pelajar yang terpinggir dari segi keperluan asas,” ujar Prof. Dr. Firdaus.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pro-Canselor UiTM; Datuk Abdul Wahab Aziz serta para tetamu kehormat yang lain-UKAS