,TANJUNG MANIS, 11 JULAI 2023 (SNN): Pelajar sekolah lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) digalakkan melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang ada di negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Sarawak memiliki banyak insitusi pengajian yang menawarkan program yang mampu bersaing dengan universiti lain dalam pasaran pekerjaan selain mereka yang melanjutkan pelajaran di negeri sendiri tidak perlu merantau jauh untuk menuntut ilmu.
“Sebgai contoh, di Sarawak memiliki beberapa institusi pendidikan terkemuka seperti University of Technology Sarawak, Kolej Laila Taib, i-Cats University College, Curtin University Malaysia, Swinburne University Of Technology Sarawak Campus dan juga Sarawak Skills,” katanya semasa merasmikan Program Ekspo Pendidikan Sarawak Daerah Tanjung Manis di Dewan Sri Barong SMK Belawai, baru-baru ini.
Tambah ADUN Kuala Rajang itu, seramai 300 pelajar dari SMK Belawai berpeluang menghadiri ekspo Pendidikan anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Tanjung Manis yang diisi dengan pelbagai aktiviti termasuklah pendedahan kepada institusi yang menawarkan program/kursus yang menarik.
Dalam pada itu, Datuk Len turut menyampaikan anugerah kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Muhammad Aiman Izzudin Ismail, Nurul Syahirah Ismadi Abdullah dan Syazwani Husna Rajeli.
Hadir sama, Penolong Pengarah, Seksyen Pengurusan Sumber Manusia mewakili Pengarah Yayasan Sarawak, Abang Azrianto Abang Bohari, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Omar Ramain dan Pengetua SMK Belawai, Shariff Umar.