SIBU, 27 JULAI 2021 (SNN) : Tindakan berani dan pantas seorang pekerja wanita yang mempertaruhkan nyawanya dalam satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah stesen minyak di Jalan Brother Albinus, Sibu amat dikagumi selepas beliau berjaya memadamkan kebakaran di tangki bawah tanah stesen minyak tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.30 pagi tadi melibatkan sebuah lori tanker minyak yang sedang mengisi minyak RON95 di tangki bawah tanh stesen berkenaan. Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah van melintasi lori berkenaan lalu menyebabkan api tiba-tiba menyala dan berlaku letupan yang mungkin berpunca daripada bateri van atau saluran ekzosnya.
“Tindakan pantas seorang pekerja stesen minyak terbabit berjaya mengawal api kebakaran dengan menggunakan 11 unit alat pemadam api. Beliau yang mengalami kecederaan ketika melakukan kerja pemadaman tersebut kini sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Lanang oleh Unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan dipindahkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
“Jumlah kerugian yang dialami belum dapat dipastikan lagi manakala van dan lori terbabit hanya mengalami kerosakan kecil,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Semasa kejadian itu berlaku, orang awam yang berada di sekitar stesen minyak bertempiaran lari kerana bimbang akan berlaku kejadian yang lebih teruk lagi. Rakaman video kejadian yang turut tular di media sosial juga mendapati keadaan asap tebal di udara sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan.