BINTULU, 24 DISEMBER 2024: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan sahaja berusaha untuk mencapai kemenangan politik tetapi juga komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan parti itu kekal relevan menghadapi cabaran masa depan.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, menekankan bahawa kejayaan parti tidak hanya diukur melalui kemenangan pilihan raya semata-mata tetapi juga melalui usaha berterusan dalam memperjuangkan hak dan pembangunan rakyat.
“Tanpa majoriti, kita kehilangan kuasa. Dan tanpa kuasa, bagaimana kita dapat terus berjuang untuk rakyat kita?” katanya ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N.67 Jepak bagi sesi 2024-2027 di sebuah hotel di Bintulu, pada Ahad.
Menurut Timbalan Premier Sarawak itu lagi, perjuangan PBB merangkumi pelbagai aspek, termasuk pendidikan, pembangunan bakat, dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Katanya lagi, perubahan berlaku dengan cepat dan jika tidak mengikuti perkembangan itu, orang akan melihat parti kita sebagai tidak relevan. Kita mesti kekal relevan sambil mengekalkan prinsip dan dasar.
Beliau turut memuji perkembangan pesat Bintulu sebagai hab pelaburan utama, yang menurutnya, adalah hasil usaha gigih kepimpinan PBB.
“Transformasi Bintulu bukan satu kebetulan. Ini adalah hasil usaha gigih pemimpin kita dan kita mahu PBB Jepak kekal relevan dengan perubahan ini dan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan daerah dan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyeru ahli parti untuk memastikan lebih ramai usahawan dan pemilik perniagaan berjaya, selain mendorong anak muda untuk berkhidmat dengan pemikiran yang progresif.
Beliau turut menegaskan kejayaan Sarawak dalam memperoleh kembali kawalan Pelabuhan Bintulu melalui Perjanjian Malaysia 1963 sebagai bukti kekuatan perjuangan PBB.
“Ini adalah hasil kestabilan politik dan kekuatan kita. Dengan itu, kita dapat terus memperjuangkan hak dan memajukan negeri kita,” katanya-UKAS