LAWAS, 04 MEI 2021 (SNN) : Penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun lalu sehingga kini yang dilihat semakin membimbangkan banyak memberi impak kepada sektor ekonomi di negara ini termasuklah sektor pembinaan dan pelaksanaan projek-projek rakyat yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun lepas.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejak penularan wabak ini semakin serius banyak projek rakyat yang sepatutnya dilaksanakan terpaksa dihentikan sementara demi menjaga keselamatan pekerja di tapak pembinaan.
Di negeri ini sahaja projek-projek rakyat yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, Projek Rakyat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebahagian projek MRP yang dibiayai oleh kerajaan negeri banyak tergendala.
Perkara ini menjadi lebih buruk apabila ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan ke atas isu ini dengan mengatakan kerajaan tidak mengotakan janji demi kepentingan politik pihak pembangkang.
Beliau berkata demikian semasa berucap di dalam Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Ahad lalu.
Tambah beliau, selain projek yang terpaksa ditangguh syarikat-syarikat yang mengambil tender projek turut mengalami beberapa masalah seperti tenaga kerja disebabkan pintu sempadan ditutup dan kekurangan bahan binaan serta pengangkutan.
“Inisiatif lain yang boleh diambil adalah setiap projek yang dilaksanakan contohnya di kawasan Lawas ini pendudk tempatan boleh mengambil peluang untuk bekerja sebagai memenuhi keperluan pekerja berikutan kita tidak dapat mendapatkan tenaga kerja warga asing sepanjang pandemik ini dan ini dapat menambahkan ekonomi penduduk setempat,” tegasnya.
Turut hadir sama ke majlis Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas.-SUMBER UKAS.