MALUDAM, 20 JULAI 2022 (SNN): Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika memancing di Hulu Sungai Maludam selepas dipercayai tidak pulang ke rumah sejak semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, bilik Kawalan Balai BBP Saratok menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman sekitar jam 7.25 pagi tadi berhubung kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27 tahun.
Pasukan Bomba Saratok yang sedang menelusuri sungai dalam usaha mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di hulu Sungai Kampung Seberang Maludam dekat sini hari ini.
“Mangsa dikatakan hilang di Hulu sungai Maludam ketika menangkap ikan. Beliau telah keluar menangkap ikan dengan berjalan kaki di pantai hulu Sungai Maludam dan tidak pulang sehingga kini.
“Berikutan itu, sepasukan bomba telah bergerak ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seekor buaya timbul tidak jauh dari lokasi penemuan kasut dan joran milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang membuatkan pasukan Bomba Saratok segera menghubungi Perhilitan Sibu.
Dedah bomba, pasukan Jabatan Perhilitan Sibu telah dimaklumkan kerana seekor buaya timbul, menunjukkan dirinya di dalam sungai tidak jauh dari lokasi kasut dan joran mangsa dijumpai. Jelasnya lagi, setakat ini bomba menjumpai kasut dan joran milik mangsa lebih kurang 30 meter.
Setakat ini usaha mengesan mangsa masih giat dijalankan.
Turut bersama dalam operasi pencarian menggunakan bot iaitu agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang kampung.
Selain itu, pihak Forestry juga telah dimaklum untuk bersama terlibat dilokasi pencarian.