KUCHING, 30 OKTOBER 2022 (SNN): Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) bekerjasama mengekalkan warisan dan budaya perkahwinan Melayu Sarawak.
Kolaborasi antara OKSHE dan PKMS ini bertujuan untuk mendedahkan kepada orang ramai berkenaan adat istiadat perkahwinan Melayu Sarawak zaman dahulu.
Sehubungan itu, OKSHE telah mengadakan program bagi mengimbau semula serta mempamerkan adat istiadat Orang Melayu di Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai, Kampung Heritage Trail Kuching pada Sabtu.
Kediaman tersebut juga sangat bertepatan dengan tema persembahan budaya Melayu Sarawak memandangkan senibina dan reka bentuk rumah yang kaya dengan hasil ketinggian kemahiran seni kraf pada masa dahulu.
Bagi memeriahkan lagi acara itu, OKSHE juga memaklumkan pihaknya turut dibantu Rumpun Silat Sarawak (RSS), komuniti yang terlibat dengan hadrah, bergendang Zapin Sebat dan Sindang, dan sebagainya yang melibatkan tradisi orang Melayu Sarawak.
Program itu juga ditujukan khas kepada semua komuniti Sarawak sebagai acara mingguan buat para pengunjung.
Turut hadir Pengerusi PKMS Dato Benjamin Hasbie, Pengerusi Sarawak Persatuan Pemandu Pelancong Abang Azahati Abang Zaidan dan Ketua-ketua Jabatan.-UKAS