KUCHING, 24 MEI 2024: Negeri Sarawak merekodkan jumlah eksport sebanyak RM18.8 bilion ke China pada 2023 yang merangkumi pelbagai sektor termasuklah gas asli cecair, minyak makan dan logam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, jumlah import antara Sarawak dengan China pada tahun sama berjumlah RM9.9 bilion merangkumi jentera, barangan perkilangan dan produk pengguna.
Katanya, ia menjadikan China sebagai rakan perdagangan utama Sarawak sambil menambah hubungan pembangunan ekonomi antara kedua pihak didorong kerjasama yang kukuh merentas sektor.
“Malah, kerjasama ekonomi antara kedua-dua wilayah terus berkembang dengan penglibatan China dalam pembangunan tenaga hidro Bakun, Murum dan Baleh.
“Ia menyokong matlamat kita (Sarawak) untuk menjadi kuasa besar ASEAN,” katanya semasa merasmikan program Malaysia-China Summit 2024: Networking Engagement Series in Sarawak pada Jumaat.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, Persidangan Malaysia-China Summit 2024 yang akan diadakan mulai 17 hingga 19 Disember depan di Kuala Lumpur akan menjadi platform untuk Sarawak mengukuhkan lagi kerjasama sosio-ekonomi dengan China.
Ia bakal menghimpunkan seramai 500 peserta pameran dan 10,000 delegasi perdagangan dari China, Malaysia dan ASEAN.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak; Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak; Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching; He. Xing Weiping.-UKAS