KUCHING, 05 MEI 2024: Sarawak wajar dijadikan contoh untuk masyarakat hidup saling bertoleransi serta memahami budaya pelbagai kaum bukan hanya di Malaysia tetapi kepada dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, nilai integrasi dan semangat muhibbah dalam masyarakat di Sarawak menjadi tunjang utama ia terus terjamin.
“Selepas Syawal, saya ada jemputan untuk program pra Gawai jadi kita sambung dari raya hingga ke Gawai. Maknanya disini, integrasi dan semangat hubungan muhibah dalam masyarakat kita terus terjamin, dan terus menjadi sebahagian daripada hidup kita.
“Saya fikir, dengan adanya integrasi itu tiada masalah untuk kita hidup dalam keadaan yang harmoni kerana kita faham akan budaya masing-masing dan yang paling penting, keamanan dunia. Apa yang berlaku di Gaza, di Ukraine sedikit sebanyak menjejaskan hidup masyarakat dari segi ekonomi.
“Saya rasa biarlah kita menjadi contoh bukan hanya di Malaysia tetapi juga umat dunia dari segi tahap teloransi dan kesefahaman lebih-lebih lagi kita mempunyai tekanan dari segi isu perkauman dan agama, dan kita mesti menghalang kejadian itu berlaku di Sarawak untuk kita terus bergerak kehadapan,” katanya ketika ditemui media semasa melakukan kunjungan Hari Raya Aidilfitri di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang tiba kira-kira jam 10.22 pagi dan disambut mesra oleh Dato Sri Nancy serta ahli keluarga.
Hadir sama berkunjung ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti); Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta isteri Datin Dayang Halimah Abang Paul.-UKAS