SEBUYAU, 18 OGOS 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkesempatan menyaksikan penyerahan salah satu projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2022 oleh pihak JKR Samarahan kepada wakil kontraktor One True Enterprise, Wan Zainal Abidin Wan Abang di perkarangan padang futsal Kampung Baru, Sebuyau.
Menurut Julaihi, penyerahan projek bernilai RM400 ribu berkenaan adalah bagi menaiktaraf padang futsal Kampung Baru, Sebuyau yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Daerah Sebuyau.
“Naiktaraf gelanggang futsal ini kelak merangkumi pembinaan bumbung gelanggang dan pemasangan lampu padang selain menaiktaraf lantai padang dan dijangka siap dalam tempoh 24 minggu bermula September 2022 ini.
“Apabila projek ini siap kelak padang ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutama golongan belia untuk bersukan permainan futsal selain dari padang-padang futsal di sekitar Sebuyau,” jelas beliau.
Turut hadir sama Residen Samarahan; Tn Hj Berahim Lumpu, Pegawai Daerah Sebuyau; En Jerry Zainuddin Bidin dan wakil belia serta pemimpin tempatan.