SPAOH, 20 MAC 2023 (SNN): Projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Spaoh berkapasiti 5 juta Liter per hari yang telah siap dilaksanakan dan mula beroperasi sejak 15 Januari lalu beri manfaat kepada lebih 7,000 pengguna di kawasan Betong.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, dalam usaha memastikan sistem bekalan air di kawasan Daerah Kecil Spaoh ini bertambah baik kerajaan Sarawak melalui kementeriannya dan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bersetuju untuk meningkatkan kapasiti pembekalan air bersih 24 jam yang memanfaatkan lebih 1,261 isi rumah.
“Pelaksanaan projek ini amat signifikan bagi menampung peningkatan permintaan penggunaan bekalan air di sekitar Spaoh yang merangkumi Kampung Tuie, Supa, Medang, Serabang, Jerai dan Belassau.
“Sebelum ini loji terbabit hanya mampu membekalkan 1 juta liter air sehari namun atas inisiatif dan keprihatinan kerajaan negeri maka kita telah naiktaraf kapasiti loji berkenaan kepada 3 juta liter air sehari yang sudahpun beroperasi sejak 15 Januari lalu tetapi sasaran kita supaya ianya mampu mencapai kapasiti maksimum iaitu 5 juta liter sehari,” kata beliau pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Prjek Bekalan Air Daerah Betong pada Ahad.
Tambah Julaihi lagi, pada masa ini kementeriannya turut melihat keperluan untuk meningkatkan keperluan bekalan air di seluruh Betong oleh itu kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan bagi menaiktaraf Loji Rawatan Air Lubau yang akan ditingkatkan dari 30 juta kepada 60 juta liter air sehari.
Katanya, tender untuk projek berkenaan akan diatur dalam masa terdekat dan pastinya apabila siap dilaksanakan kelak akan meningkatkan kapasiti bekalan air secara keseluruhan di Bahagian Betong.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar; Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas; Mohamad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong; Dr. Richard Rapu serta Pengarah JBALB Sarawak; Ir. Chang Kuet Shian.