KUCHING, 01 FEBRUARI 2024: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) akan meneruskan kecemerlangan prestasi kementerian dalam menyediakan perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi yang terbaik untuk rakyat menerusi Pelan Tahunan 2024.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelan tersebut melibatkan pelaksanaan 59 program dan aktiviti sepanjang tahun ini yang mana merupakan kesinambungan prestasi kementerian agar dapat memberi perkhimatan utiliti dan telekomunikasi yang terbaik untuk Sarawak dalam masa yang terdekat.
“Tekad kita adalah memastikan pencapaian dan prestasi yang memang kita hasratkan dapat dilaksana dengan berkesan terutama sekali selaras dengan keperluan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Warga MUT di Kuching, pada Selasa.
Dato Sri Julaihi menambah, inisiatif Pelan Tahunan 2023 yang diperkenalkan oleh Setiausaha Tetap MUT, Jafri Lias telah dilaksanakan dengan cemerlang dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 94 peratus.
“Dan ini juga membuktikan bahawa adanya satu kerjasama yang begitu erat di peringkat pentadbiran yang diketuai oleh Setiausaha Tetap kita bersama dengan rakan-rakan sama ada di kementerian ataupun di jabatan serta agensi berkaitan.
“Manakala pencapaian ScoreCard Kementerian sepertimana yang telah dimaklum oleh Setiausaha Tetap tadi turut mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang memberansangkan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kementerian, jabatan dan agensi kerana pencapaian ini tidak lain tidak bukan adalah dariapda hasil kerja keras dan kerjasama yang erat di antara anda semua,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.-UKAS