KUCHING, 09 MAC 2022 (SNN) : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir telah menghadiri sesi perbincangan bersama CEO Borneo Development Corporation, Nor-E-Fadzwie Salleh di Bilik Mesyuarat Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd pada Selasa.
Perbincangan tersebut diadakan bertujuan bagi membincangkan tentang hala tuju pembangunan Daerah Kabong dalam beberapa tahun akan datang dan berhasrat untuk menjadikan Kabong sebagai daerah maju seperti daerah-daerah lain di negeri ini.
Selain itu, ia juga merupakan antara agenda utama yang sangat dititikberatkan oleh ADUN Kabong dalam masa yang sama mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain merancakkan sektor ekonomi penduduk di sekitar Kabong.
Jelas Mohd Chee, dengan adanya pelan sebegini, sudah pasti Kabong kelak mampu menjadi salah satu lokasi pelancongan yang menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri selain memperkenalkan budaya dan keunikan yang ada di daerah ini.