KOTA SAMARAHAN, 02 OGOS 2022 (SNN): Majlis Islam Sarawak (MIS) sedang merancang untuk menubuhkan sebuah Universiti Islam di negeri ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, perkara ini masih dalam peringkat perancangan dan dikendalikan oleh Biro Pendidikan MIS.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk mewujudkan institusi tersebut bagi menyediakan peluang pendidikan dalam bidang Islam kepada pelajar negeri ini.
“Salah satu perkara yang saya selalu timbulkan adalah kita ada pelajar yang telah tamat tingkatan 5 dalam pendidikan Islam dan mereka mahu menyambung pengajian di peringkat pengajian Islam.
“Namun demikian, mereka terpaksa pergi ke tempat lain seperti pergi ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar negara termasuklah ke Indonesia, Timur Tengah dan sebagainya. Jadi, adalah lebih baik jika kita mempunyai institusi sendiri dan tenaga pengajar kita ambil daripada luar bagi meningkatkan kualiti pendidikan Islam kita di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penangguhan Seminar Zakat sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Isnin.
Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini terdapat Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) yang menyediakan pendidikan Islam.-UKAS.