KUCHING, 27 APRIL 2022 (SNN) : Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi tidak melepaskan peluang meraikan anak-anak yatim serta menyerahkan sedikit sumbangan kepada mereka dan juga beberapa buah masjid dan surau di sekitar Kuching dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB), di sini, semalam.
Majlis yang dikelolakan oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam SEB yang dipengerusikan oleh saudara Raden Chekra Muda itu menyaksikan Datuk Julaihi bersama CEO SEB, Datu Sarbini meraikan anak-anak yatim sebagai tanda memberi semangat untuk mereka turut merasai kemeriahan sambutan hari raya yang bakal tiba beberapa hari lagi.
Sebelumnya, Datuk Julaihi bersama para tetamu yang lain bersama-sama berbuka puasa di perkarangan Masjid Darul Hana, Petra Jaya dan seterusnya menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih.
Dalam sesi ucapan beliau juga, Datuk Julaihi memberi jaminan kepada rakyat Sarawak khususnya umat Islam yang menyambut hari perayaan nanti akan mendapat bekalan elektrik yang mencukupi dan tidak terganggu dengan usaha yang ditingkatkan oleh pihak SEB bagi memastikan umat Islam meraikan perayaan tanpa sebarang masalah.
“Namun, sekiranya berlaku juga gangguan bekalan elektrik, orang ramai diminta untuk menghubungi pihak SEB dan dijamin akan diselesaikan dengan kadar segera kerana pihak SEB akan menambah tenaga kerja mereka sepanjang perayaan nanti,” jelas beliau lagi semasa berucap pada Majlis Iftar SEB semalam.
Turut hadir sama adalah Tuan Syed Fauzi Sahab; Pengarah Elektrik Kementerian Utiliti dan Tekemomunikasi Sarawak ( MUT ),Tuan Hj Sulaiman Hamid; Naib Presiden Kanan SEB, En Yusri Safri; Naib Presiden SEB dan En Khairol Anwar Sazali; Pengerusi Masjid Darul Hana.