SEBUYAU, 09 NOVEMBER 2022 (SNN): Menara Telekomunikasi di salah satu lokasi di Kamoung Sungai Ladong, Sebuyau sudah dipasang peralatan telekomunikasi, demikian menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Kunjungan beliau beserta rombongan ke tapak menara telco terbabit bersama pihak SDEC, Pengarah MCMC Sarawak menyaksikan sendiri pemasangan peranti telekomunikasi di menara terbabit.
Menurut Julaihi lagi, SDEC Sarawak yang diberi tanggungjawab untuk mempercepatkan liputan jalur lebar dan perkhidmatan jaringan telefon di kawasan luar bandar akan memastikan dalam masa terdekat ini kemudahan itu dapat digunakan ‘on air’ secara berperingkat.
“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan kesemua menara yang telah siap dibina akan dipasang dengan peralatan telekomunikasi namun secara berperingkat kerana kerja-kerja pemasangan memerlukan tenaga pakar yang benar-benar mahir dalam bidang berkenaan.
“Jadi, orang awam khususnya mereka di kawasan yang belum tersedia jaringan jalur lebar yang memuaskan untuk bersabar sedikit masa untuk pihak SDEC memasang peralatan berkenaan,” tegasnya.
Turut hadir sama ADUN Beting Maro; Razaili Gapor dan calon GPS Batang Lupar; Mohamad Shafizan Kepli.