KAPIT, 31 JULAI 2022 (SNN): Mayat seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki karam di Jeram Pelagus, Sungai Rajang untuk menjala ikan petang kelmarin ditemui awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang ditemui oleh pekerja kapal muatan batu di sekitar jeram sekitar jam 5 pagi tadi itu dikenali sebagai Ngalang Demong berusia 73 tahun.
Mayat mangsa telah dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Richelles Seli Lasu, 21 tahun yang turut terlibat dalam insiden tersebut.
Terdahulu bomba dalam satu kenyataan, seorang saksi kejadian tersebut menjelaskan sekitar jam 4.30 petang semalam mereka dalam perjalanan dari Nanga Pelagus Kapit untuk menjala ikan bersama datuknya Ngalang Demong dan bapa saudaranya Richelles Seli Lasu.
“Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, saksi diminta turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai. Manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.
“Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka telah karam dan kedua-duanya mangsa hilang,. Gerakan awal mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung dilakukan. Bagaimanapun kedua-dua mangsa masih belum dijumpai,” kata kenyataan itu.