MUKAH, 28 MAC 2021 (SNN) : Masyarakat di negeri ini khususnya di kawasan Daerah Daro harus memainkan peranan dalam memelihara sumber air daripada tercemar untuk kebaikan serta kelangsungan hidup generasi di masa akan datang.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Jonie Zawawi berkata, ketua-ketua masyarakat di kawasan masing-masing harus memainkan peranan utama dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat berkenaan kesedaran dan kepentingan melindungi serta menjaga sumber air khususnya sungai untuk kebaikan bersama dan alam sekitar.
“Sumber air yang bersih adalah amat penting untuk kehidupan manusia, oleh itu adalah tanggungjawab kita bersama untuk memlihara sungai yang ada daripada tercemar kerana ia merupakan salah satu sumber untuk kegunaan harian penduduk.
“Bersempena dengan Hari Air Sedunia ini kita menggerakkan kempen kesedaran menghargai air ini supaya masyarakat bertindak memelihara air sungai daripada tercemar bukan hanya pada hari ini sahaja akan tetapi untuk sampai bila-bila masa,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Bahagian Mukah di Daro pada Sabtu.
Tambah beliau, Kampung Pangtray, Daro hari ini sangat bertuah kerana telah dipilih sebagai tapak untuk menyambut Hari Ari Sedunia Peringkat Bahagian Mukah pada tahun ini yang mana ianya disambut secara serentak di seluruh dunia.
“Dengan Tema Menghargai Air dipilih pada tahun ini, jadi sama-samalah kita memainkan peranan masing-masing dalam menjaga sumber air yang ada. Kawasan luar bandar seperti di kampung-kampung mungkin tidak terkesan secara kritikal jika berlaku pencemaran akan tetapi kita mesti terus melindunginya daripada ancaman pencemaran yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.-SUMBER UKAS.