KCHING, 12 FEBRUARI 2025 (SNN): Masih terdapat banyak kekosongan untuk jawatan guru di Sarawak meskipun sesi pengambilan guru khas Sarawak baru-baru ini hampir selesai, menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurut beliau, walaupun terdapat ramai calon yang memohon untuk jawatan tersebut pada sesi kali ini, namun jumlah calon yang benar-benar layak adalah masih rendah ataupun tidak melepasi syarat kelayakan.
Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sentiasa cakna mengenai perkara ini dan dalam usaha bagaimana menangani isu tersebut dengan satu taklimat mengenainya juga telahpun diadakan baru-baru ini.
“Antara salah satu faktor calon ini tidak mendapat tawaran adalah daripada syarat kelayakan, iaitu mereka yang mempunyai ikhtisas dalam pendidikan sangat sedikit daripada jumlah keseluruhan 15,000 permohonan.
“Saya berharap graduan dari institut pendidikan guru (IPG) yang akan menamatkan pengajian dalam masa terdekat dapat mengisi kekosongan sedia ada,” ujarnya semasa semasa Majlis Perasmian Borneo International Robot Tournament 2025, pada Selasa.
Tambah Sagah lagi, setiap tahun akan ada lebih kurang 500 hingga 1,000 kekosongan jawaan guru di Sarawak atas faktor pencen, perpindahan tempat mengajar dan ada sesetengahnya juga berhenti untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Jadi, oleh kerana itu kita di Sarawak sentiasa ada kekosongan atau masalah kekurangan tenaga pengajar yang masih tidak dapat dipenuhi,” tegasnya lagi.
Dedahnya lebih lanjut, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sebanyak 96 peratus sekolah di Sarawak mempunyai guru bagi mengajar subjek yang diperlukan dimana secara puratanya hanya terdapat satu kekosongan guru bagi setiap sekolah.
“Sarawak mempunyai lebih 1,200 sekolah, ini termasuk sekolah rendah dan menengah,” ujar Sagah.
Menyentuh isu calon guru yang menolak penempatan di kawasan luar bandar, Roland berkata perkara itu bergantung kepada pilihan individu.
Ditanya sama ada guru yang menolak penempatan akan disenarai hitam, jelas beliau perkara itu adlaah terletak di bawah bidang kuasa SPP dan mereka yang menolak itu tidak akan mendapat peluang itu lagi di sesi pengambilan akan datang.