More
    Home Malaysia Masalah Gangguan Bekalan Air Dan Tekanan Air Rendah Di Bekenu Bakal Diselesaikan

    Masalah Gangguan Bekalan Air Dan Tekanan Air Rendah Di Bekenu Bakal Diselesaikan

    BEKENU, 29 MAC 2022 (SNN) : Isu kekerapan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah yang dihadapi oleh penduduk di daerah Bekenu bakal diselesaikan dengan pelaksanaan projek penggantian paip serta pembinaan platform koridor utiliti di kawasan tersebut.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek hasil kerjasama erat antara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) dengan pihak kontraktor Pan Borneo itu dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2022.

    “Projek ini adalah penting dalam pelaksanaan Projek Rakyat ‘NR2, WO6 Proposed 5.0ML High Ground Tank and Upgrading of Pumping System at Bukit Song Booster Station’ bernilai RM40 juta yang kini dalam fasa pembinaan oleh pihak JBALB,” katanya semasa menghadiri sesi lawatan tapak dan taklimat di pejabat Pakej Kontrak Kerja (WPC) 11 Bekenu di sini pada Ahad.

    Datuk Julaihi mendengar taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari JBALB Miri

    Menurut beliau, skop kerja bagi projek tersebut merangkumi pemasangan saluran paip sepanjang 30.6 kilometer, menaiktaraf sistem pengepaman di Stesen Pam Penggalak Bukit Song, pembinaan takungan bukit tanah yang berkapasiti 5ML serta pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 3ML di Pekan Bekenu.

    “Sehubungan itu, kerjasama erat antara JBALB dan Pan Borneo amat bermakna dalam memastikan projek yang kini dalam fasa pembinaan ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual yang telah ditetapkan,’’ tambahnya.

    Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, hal ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang seringkali dihadapi penduduk di Bekenu dan kawasan sekitar.”

    Datuk Julaihi turut menjelaskan, masalah gangguan bekalan air tersebut adalah berkaitan dengan pemindahan saluran paip yang melibatkan pembinaan pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo yang ada di kawasan berkenaan.

    “JBALB juga komited dalam memastikan setiap pelaksanaan projek dapat disiapkan dengan segara agar isu bekalan air boleh diselesaikan dengan efektif dan menyeluruh,” tambah beliau.

    Katanya lagi, ini adalah sejajar dengan sasaran Premier Sarawak untuk memastikan setiap penduduk di negeri ini dapat menikmati kemudahan bekalan air yang bersih dan terawat.

    Turut hadir ke sesi lawatan dan taklimat tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Ir. Chang Kuet Shian, serta Pemangku Ketua Projek Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Wartawan di wilayah Sarawak di cadangkan mengikuti latihan profesional kewartawanan

    0
    KUCHING, 07 JANUARI 2025: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dicadangkan untuk menyertai Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan profesionalisme wartawan...