KUCHING, 29 JANUARI 2022 (SNN) :Mantan Tuan Yang Terutama, TYT Sarawak Tun Pehin Sri Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng meninggal dunia pada usia 100 tahun pukul 11.42 malam tadi.
Jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya di Telaga Air, Kuching dan akan dibawa ke Masjid Jamek Kuching untuk Solat Jenazah dan Penghormatan Terakhir pada pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Tun Salahuddin lahir pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu adalah antara nama besar anak Sarawak yang telah berkhidmat dengan Sarawak dari era Sarawak diperintah keluarga Brooke, Koloni Mahkota Sarawak British dam Sarawak, Malaysia. Allahyarham menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981, dan sekali lagi dari 2001 hingga 2014.
Allahyarham merupakan orang pertama yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri sebanyak dua kali. Pada tahun 2000, Allahyarham menjadi Pemangku TYT kerana TYT ketika itu Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce sakit.
Tun Ahmad Zaidi Adruce meninggal dunia pada Disember 2000, dan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan TYT pada Februari 2001 dan penggalnya secara rasmi berakhir 28 Februari 2014.
Allahyarham adalah seorang pemimpin Sarawak yang amat disayangi dan dihormati oleh rakyat jelata kerana keperibadiannya yang mudah didekati sepanjang hidupnya. Sesungguhnya ini adalah satu kehilangan besar buat Sarawak Bumi Kenyalang. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan anbiya. Salam takziah kepada keluarga dan seluruh rakyat Sarawak. Al Fatihah.