SEBUYAU, 10 DISEMBER 2021 (SNN) : Setiap parti yang bertanding mempunyai latar belakang yang berbeza begitu juga aku janji atau manifesto yang diperkenalkan oleh parti masing-masing dan lebih penting adalah manifesto yang dilaungkan itu seharusnya munasabah serta mampu untuk dilaksanakan sekiranya mendapat mandat memerintah kerajaan negeri Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 kali ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, parti yang bertanding mempunyai latar belakang yang berbeza begitu juga calon-calong yang diketengahkaan oleh parti masing-masing. Contohnya, di Sebuyau Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditentang oleh PBK dan AMANAH dan berdasarkan rekod pencapaian latar belakang parti, GPS masih merupakan pilihan terbaik.
“GPS wajar dipilih semula untuk mempertahankan kerusi di kesemua 82 kawasan DUN untuk menerajui semula kerajaan negeri khususnya kawasan DUN Sebuyau kerana GPS telah banyak membawa perubahan besar kepada rakyat contohnya di Sebuyau kita dapat melihat keadaan kawasannya sedang giat dilaksanakan projek-projek rakyat berimpak tinggi.
“Kawasan Sebuyau yang kini menjadi laluan jalan pesisir termasuk jalan raya menghubung ke Lingga dari Sebuyau yang sedang dibina serta jalan kedua utama yang akan menghubungkan terus ke Jambatan Batang Sadong seterusnya ke Kota Samarahan melalui jajaran baru membuktikan GPS komited memberikan keselesaan kemudahan infrastruktur kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika hadir semasa majlis perjumpaan bersama penduduk kampung di kampung Masjid Sebuyau, semalam.
Tambah beliau, selain daripada projek jalan projek benteng laut yang bermula dari Sebangan hingga ke Sebuyau juga dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun. Projek bekalan air di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang sedang dibina juga akan memberi keselesaan kepada penduduk dengan adanya bekalan air bersih 24 jam apabila siap kelak.
Selesai menghadiri program bersama rakyat di Sebuyau, pada sebelah malam pula Datuk Julaihi berkesempatan mengadakan pertemuan bersama ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)@GPS dan penduduk Kampung Baru, Lereng Bukit dan GIAT MARA.
Pada majlis itu, beliau menekankan pentingnya menilai perjuangan serta manifesto yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Semestinya janji yang dilaungkan oleh parti yang bertanding itu perlulah munasabah dan bukannya sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.
Ujar beliau lagi, pada pilihan raya kali ini sudah pasti GPS adalah pilihan yang tepat kerana terbukti mampu menunaikan janji dengan penilaian sendiri oleh rakyat melalui pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan ketika ini. Beliau berharap penduduk khususnya di kawasan DUN Sebuyau untuk terus memberikan sokongan kepada GPS agar dapat meneruskan usaha membawa lebih banyak pembangunan di luar bandar.