More
    Home Sarawak Limbang Mangsa kebakaran Rh Bujang Nanga Medamit terima sumbangan dari empat wakil rakyat...

    Mangsa kebakaran Rh Bujang Nanga Medamit terima sumbangan dari empat wakil rakyat Limbang

    LIMBANG, 29 JANUARI 2023 (SNN): Nasib mangsa kebakaran Rh Bujang di Nanga Medamit, Limbang terbela apabila mendapat perhatian daripada wakil rakyat yang turun padang membantu dalam memastikan mereka mendapat semula kediaman baharu.

    Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, usaha kini adalah untuk membina penempatan sementara yang mana akan dilengkapkan dengan kemudahan penting bagi memberi keselesaan kepada mangsa terlibat sementara proses pembinaan semula rumah siap.

    Katanya, pembinaan semula rumah panjang tersebut dijangka akan memerlukan sekitar dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

    ”Bagi kemudahan elektrik, saya telah meminta pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya memastikan kerja-kerja pendawaian elektrik dilakukan oleh orang yang bertauliah.

    ”Penempatan sementara ini akan digunakan untuk tempoh lama dan kita tidak mahu berlaku lagi bencana yang berpunca daripada isu elektrik. Jadi pihak SEB kena pastikan perkara ini. Saya tidak mahu penduduk di sini berada dalam kegelapan pada waktu malam,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak kebakaran rumah panjang tersebut di Nanga Medamit, Limbang pada Sabtu.

    Datuk Amar Awang Tengah meluangkan masa bersama mangsa semasa lawatan beliau untuk menyampaikan bantuan.

    Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan, Majlis Daerah Limbang akan menyediakan kemudahan tandas dan bilik mandi untuk kegunaan sementara manakala pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) telah diminta menyediakan tangki air untuk kegunaan penduduk.

    ”Saya juga mahu pihak JBALB dan LAKU bekerjasama menghantar bekalan air ke sini. Dalam masa sama, kita akan cuba memperbaiki bekalan air ’gravity feed’ yang digunakan di sini,” ujarnya.

    Sementara itu, beliau mengumum akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 menerusi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk pembinaan kediaman sementara yang selesa.

    Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak juga akan menyalurkan bantuan bernilai RM5,000 setiap pintu manakala dana sebanyak RM50,000 turut disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA).

    Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menaruh perasaan dukacita atas kejadian tersebut tetapi berasa lega kerana ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Pada lawatan ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah turut menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 manakala Timbalan Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pula menyumbangkan RM300 setiap pintu serta ADUN Batu Danau menyumbangkan wang tunai berjumlah RM39,000 untuk kesemua mangsa.

    Manakala, bakul makanan berjumlah 79 bungkus juga disumbangkan oleh Datuk Amar Awang Tengah, Datuk Hasbi serta Datuk Dr Abdul Rahman.

    Hadir sama Residen Bahagian Limbang; Unus Tambi, Pemangku Pegawai Daerah Limbang; Awang Nazri Awang Saperi, Pegawai Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang; Anisah Ahmad, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang; Mahathir Jokeni, Pemangku Jurutera Bahagian JKRL; Petrick Linggie Taboh, Setiausaha Majlis Daerah Limbang; Ramlan Marajan, Ketua Zon 7 Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak dan Tuai Rumah Bujang Minggan.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Wartawan di wilayah Sarawak di cadangkan mengikuti latihan profesional kewartawanan

    0
    KUCHING, 07 JANUARI 2025: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dicadangkan untuk menyertai Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan profesionalisme wartawan...