BAU, 29 NOVEMBER 2024: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,168,123 hektar (2.8 juta ekar) tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh bahagian negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerja-kerja penyukatan itu dilakukan dari 2010 hingga 31 Oktober 2024 yang melibatkan seluas 924,596 hektar telahpun diwartakan.
“Bayangkan betapa besarnya keluasan yang berjaya kerajaan sukat melalui Program Pengukuran Tanah NCR inisiatif baharu,” katanya pada majlis penyerahan Warta Rizab Komuniti Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada Khamis.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan Warta Rizab Komuniti Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 KTN bagi Bobak Sejinjang seluas 1,712.15 hektar, Bogag (673.13 hektar) dan Banan (121 hektar).
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, setakat 31 Oktober 2024, sebanyak 93,222 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 112,021 hektar (276,804 ekar).
“Kerajaan akan keluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 KTN, yang tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium, tempoh pegangnya kekal. Inilah komitmen dan janji kerajaan. Semua ini adalah untuk kepentingan rakyat,” tambah beliau.
Sejak 2010, beliau berkata, Kerajaan Pusat di bawah Program Khas Bumiputera (PKB) telah membelanjakan sebanyak RM243.1 juta bagi melaksanakan Program Pengukuran Tanah NCR.
Awang Tengah menegaskan, di samping itu juga, kerajaan pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk penyukatan Tanah NCR.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik tanah terbabit supaya menggunakan tanah itu sebaik-baiknya dan jangan menjualkannya semata-mata untuk keuntungan
singkat-UKAS