KUCHING, 30 DISEMBER 2022 (SNN): MamaCare merupakan sebuah Perkhidmatan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin dan merupakan salah satu bentuk sokongan sosial bagi membantu mempertingkan kesihatan dan fizikal untuk ibu-ibu yang baru besalin.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri, program MamaCare telah dianjurkan untuk Sarawak bermula pada tahun 2014 yang mempunyai seramai 120 pengamal.
Katanya, beliau amat kagum dengan usaha kerja Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak bersama MamaCare Centre Sarawak dalam usaha membantu melatih wanita, ibu tunggal dan warga emas terutamanya daripada kumpulan Low Income Household (LIH) untuk menjana pendapatan keluarga melalui program ini.
“Saya rasa ini adalah satu program yang amat baik kerana ia dapat membantu mereka yang ingin menjana pendapatan peribadi.
“Dengan program ini mereka boleh meningkatkan ekonomi mereka samada mereka bekerja atau tidak, mereka dapat menjana pendapatan mereka sendiri,” katanya ketika membuat lawatan kerja rasmi di MamaCare Center UTC Kuching pada Khamis.
Jelasnya lagi, perkhidmatan seperti ini sememangnya laku di mana-mana sahaja termasuk di luar negara kerana ia memang diperlukan untuk ibu-ibu bersalin.
“Kita masih memberikan dengan kadar harga yang murah iaitu RM60 sejam kerana pada saya dengan ekonomi seperti ini mereka perlu melihat dan membuat semakan kepada caj yang dikenakan.
“Perkhidmatan mereka saya nampak sangat profesional dan saya harap lebih ramai lagi menggunakan perkhidmatan MamaCare ini dalam membantu penjagaan mereka selepas bersalin,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak Shahriah Saharom.-UKAS.