KUCHING, 13 JUN 2024: Malaysia berhasrat menjadi peneraju teknologi dan inovasi hidrogen dengan memberi sokongan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sambil meningkatkan ekosistem yang kondusif memperkenalkan idea serta pertumbuhan perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri.
Dato’ Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, menangani perubahan iklim memerlukan usaha bersama, inovasi dan pendekatan dan Persidangan Hidrogen Aisa Pasifik akan mengukuhkan pelbagai kolaborasi.
“Ia juga mengetengahkan potensi hidrogen untuk masa depan mampan. Bersama-samalah berusaha mencari jalan untuk menjana tenaga masa depan dengan menghasilkan tenaga bersih demi menjamin bumi yang makmur untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis penutupan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik yang pertama di negara ini. Persidangan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Fadillah menegaskan hidrogen berpotensi merevolusi pelbagai sektor dan Malaysia akan mengutamakan kelestarian mesra inovasi melalui sokongan kewangan, insentif untuk memperkenal teknologi hidrogen dan mewujud kolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh.
“Kita juga memandang berat kepada pembangunan infrastruktur dan pelaburan yang sangat penting dalam pengenalan dan penggunaan hidrogen yang merangkumi stesen pengisian untuk kenderaan berkuasa hidrogen dan menyatukan hidrogen dalam proses perindustrian sedia ada untuk mengurangkan perlepasan karbon,” tegas beliau.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia komited menggunakan tenaga hidrogen untuk kelestarian masa depan melalui pelaburan, insentif dan pembangunan infrastruktur, inovasi dan kolaborasi bagi memacu ekonomi hidrogen yang sangat penting untuk menangani perubahan iklim.
Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 2023, katanya menggariskan strategi Malaysia untuk peralihan daripada bahan bakar fossil kepada sumber tenaga bersih.
NETR itu mengenal pasti enam peralihan tenaga iaitu kecekapan tenaga, tenaga diperbaharui, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau dan perangkap, penggunan dan penyimpanan karbon, katanya.
Di bawah NETR itu, tambahnya, kerajaan berhasrat meningkatkan keupayaan campuran tenaga diperbaharui daripada 40 peratus pada 2035 kepada 70 peratus menjelang 2050.
Ia merangkumi tenaga solar, hidro dan rancangan tenaga diperbaharui lain sambil mengurangkan penjanaan tenaga daripada arang batu,, katanya dan menambah, satu daripada sumber bahan bakar untuk menghasilkan tenaga ialah hidrogen.
Hidrogen adalah satu daripada sumber utama NETR dan memain peranan penting dalam strategi peralihan tenaga negara, tegas beliau.
“Rancangan yang disusun dalam sumber utama itu ialah projek hidrogen seperti fasiliti pengeluaran hidrogen bersepadu di Sarawak dan loji tenaga menggunakan hidrogen di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sokongan padu kerajaan untuk ekonomi hidrogen amat penting dan buktinya apabila Halatuju Teknologi Ekonomi Hidrogen dilancarkan baru-baru ini yang bermatlamat meletakkan Malaysia sebagai penerajui ekonomi hidrogen pada 2050.-BERNAMA