LIMBANG, 05 MEI 2021 (SNN) : Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bhagian Limbang dan MAKSAK Wanita Bahagian Limbang pada Isnin bekerjasama mengagihkan bubur pedas kepada petugas barisan hadapan, pesakit di hospital dan kakitangan kerajaan di Daerah Limbang.
Timbalan Pengerusi MAKSAK Wanita Limbang Hamidah Hipni ketika ditemui media UKAS berkata, agihan bubur pedas sebanyak 700 kontena telah berjaya diberikan kepada pesakit yang sedang dirawat di Hospital Limbang dan petugas barisan hadapan serta 35 jabatan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Program ini dianjurkan pada setiap tahun oleh MAKSAK Limbang di bulan puasa sebagai perhatian dan kasih sayang kita kepada penduduk di Bahagian Limbang yang kurang bernasib baik ketika menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak dan tahun ini agak sedikit berbeza kerana perlu berhati-hati dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat berikutan penularan wabak Covid-19.
“Sepatutnya banyak program yang dianjurkan oleh MAKSAK Limbang namun kita perlu mematuhi segala SOP dan berhati-hati bagi memastikan program dapat dijalankan dalam masa yang sama kita dapat menggerakkan aktiviti mengikut norma-norma baharu,” kata beliau semasa menyerahkan Bubur Pedas anjuran MAKSAK Bahagian Limbang di perkarangan Bangunan PPWS Daerah Limbang pada Isnin.
Ujar beliau, masyarakat di Limbang diharap agar terus mematuhi SOP lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan memastikan agar ahli kekusrga sentiasa dijauhkan dari jangkitan wabak berkenaan.-SUMBER UKAS.