KUCHING, 29 JULAI 2021 (SNN) : Gendang atau lebih sinonim dengan bergendang sambil betandak tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak setiap kali mengadakan majlis keramaian ataupun perkahwinan bahkan kaum lain turut terpesona dengan keunikan budaya Melayu Sarawak ini.
Bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan e-Festival Kebudayaan Melayu Sarawak 2021 kali ini, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) membawakan khas untuk semua acara e-gendang Melayu Sarawak bagi mempamerkan keunikan tradisi masyarakat Melayu Sarawak. Berkonsepkan hiburan dan boleh ditonton ramai dari rumah masing-masing melalui aplikasi ‘zoom’ dan Facebook, inisiatif ini diambil oleh pihak AKYMBS agar sama-sama dapat menyaksikan acara majlis sekaligus mengekang penularan wabak covid-19 dengan tidak perlu hadir berkumpul di suatu tempat.
Selain itu, majlis perasmian penutupan festival itu kelak akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS.
Oleh itu, pihak AKYBMS mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pihak bagi bersama-sama memeriahkan acara kemuncak ini nanti yang akan berlangsung pada 31 Julai 2021. Kepada mereka yang berminat boleh dapatkan pautan melalui link berikut https://bit.ly/2Ub7lmi dan juga siaran langsung di Laman Rasmi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.