KUCHING, 25 MAC 2025: Majlis Khatam Al-Quran yang dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bukan sekadar satu acara keagamaan, tetapi turut menjadi platform memperkukuh nilai spiritual dan perpaduan dalam kalangan kepimpinan negeri.
Majlis yang berlangsung pada petang Isnin itu dimulakan dengan bacaan doa Dhuha, diikuti dengan bacaan Surah Al-Kauthar oleh Premier Sarawak sendiri, sebelum diteruskan dengan khatam Al-Quran bersama dif-dif kehormat.
Kehadiran barisan kepimpinan negeri turut mencerminkan kebersamaan dalam menghayati nilai-nilai Islam serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak; Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak; Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Terdahulu, Premier Sarawak turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Ramadan daripada Majlis Islam Sarawak kepada Pelajar Kelas Saudara Kita yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak.
Majlis ini bukan sahaja melambangkan komitmen kepimpinan negeri dalam mendukung nilai-nilai Islam, tetapi juga menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta kesepaduan dalam pentadbiran Sarawak.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Peguam Besar Sarawak; Dato Sri Saferi Ali, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel-UKAS